PENGENALAN FAKULTI

Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) telah ditubuhkan pada 01 Jun 2010 selepas berlakunya penstrukturan dan penjenamaan semula fakulti. Fakulti ini merupakan fakulti yang terbesar di UPSI. Nama asal FPM adalah Fakulti Sains Kognitif & Pembangunan Manusia. Fakulti ini telah wujud sejak penubuhan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) iaitu pada tahun 1996. Teras utama universiti ini adalah berlandaskan bidang pendidikan untuk meningkatkan pengajaran dan pembelajaran di semua peringkat dalam pelbagai disiplin ilmu.Terdapat lima (5) buah jabatan di bawah FPM iaitu Jabatan Pengajian Pendidikan, Jabatan Psikologi dan, Jabatan Bimbingan dan kaunseling Jabatan Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Jabatan Pendidikan Khas. Selaras dengan UPSI yang teras utamanya pendidikan, FPM akan menjadi ‘tulang belakang’ kepada semua program pendidikan guru yang ditawarkan di UPSI. FPM juga bertanggungjawab melaksanakan program pendidikan sepanjang hayat dan penyelidikan dalam aspek berkaitan pedagogi, kurikulum, pengukuran dan penilaian, psikologi dan pembangunan manusia, pendidikan awal kanak-kanak, pendidikan khas dan bidang bimbingan dan kaunseling. Di samping itu, FPM juga menyediakan khidmat nasihat ke arah pembangunan kapasiti staf UPSI agar lebih mantap.

VISI DAN MISI FAKULTI

VISI
Menjadi fakulti yang cemerlang dalam kepimpinan pendidikan dan pembangunan manusia
bagi melahirkan graduan yang peka dan berwibawa dalam menerajui pendidikan.

MISI
Menjana dan menatar ilmu melalui bidang pendidikan, pengajaran, penyelidikan, perundingan
dan khidmat masyarakat dalam konteks pembangunan manusia selaras dengan visi dan misi
universiti.